Monday, July 23, 2012

Cukur Jambul...

Dalam Islam, Rasulullah s.a.w. bersabda, “Tiap-tiap anak itu tergadai dengan akikahnya yang disembelih untuk dia ketika hari ketujuh dan dicukur, lalu diberi nama.” (Riwayat Ahmad dan disahkan oleh Turmudzi)

Berdasarkan kepada hadis ini, ulama menyatakan bahawa Rasulullah s.a.w. menggalakkan umat Islam yang dikurniakan cahaya mata supaya melakukan akikah pada hari ketujuh. Kemudiannya, daging akikah tersebut diagih-agihkan kepada golongan fakir miskin.
Mengikut sunnah, apa yang dilakukan oleh Baginda kepada cucunya, Hasan dan Husin, apabila jatuh hari ketujuh diadakan akikah adalah memberikan nama dan mencukur rambut mereka berdua. Rambut tersebut ditimbang dan disamakan dengan nilai perak dan kemudiannya disedekahkan kepada fakir miskin.

Bagaimanapun, ulama hari ini menyatakan, emas boleh digunakan bagi menggantikan perak. Bahkan, mengikut Islam juga, pada hari ketujuh akan dilakukan tahnik.
Amalan tahnik ialah memasukkan sesuatu yang manis seperti manisan madu lebah atau buah tamar yang dihancurkan dan memalitkannya ke lelangit bayi. Sebaliknya, cecair manis hanya disapukan ke bibir bayi dan bukannya ke dalam mulut sebagaimana yang disunnahkan oleh Rasulullah s.a.w.

Islam menggalakkan amalan mencukur rambut bayi sehingga botak supaya segala kekotoran yang keluar daripada rahim dapat dibuang dan membolehkan rambut baru tumbuh dengan sihat.

Kesilapan yang sering dilakukan ibu bapa hari ini ialah akikah atau cukur rambut dilakukan setelah bayi berusia beberapa bulan. Majlis tersebut turut disertai dengan adat berendoi di mana buaian dihias dengan bunga-bungaan dan perhiasan lain.
Upacara cukur rambut tidak perlu disertakan dengan marhaban atau berzanji. Ia memadai dengan bercukur rambut sahaja. Melainkan jika ia diadakan pada hari akikah, bolehlah diadakan jamuan.

Masyarakat Islam harus faham bahawa sesuatu amalan yang dilakukan sama ada yang sudah menjadi tradisi dan kebiasaan tanpa bersumberkan nas atau dalil yang sah perlu ditolak. Apatah lagi apabila ia dikaitkan dengan kepercayaan dan tradisi agama lain.

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...