Wednesday, August 1, 2012

Sakit belakang ketika hamil



Ketahui cara betul elak kesakitan berpanjangan

SAKIT belakang antara rungutan sering kedengaran daripada mulut bakal ibu yang sedang hamil. Lazimnya, ia boleh berlaku pada peringkat awal kandungan dan antara punca masalah ini adalah kandungan yang sedang membesar menyebabkan otot abdomen meregang dan berlaku perubahan pada postur badan. Perubahan postur ini mengakibatkan pengalihan pusat graviti badan, lantas memberi tekanan ke atas bahagian belakang ibu hamil yang menjadi punca kepada rasa sakit.
Perunding Bedah Otopedik, Trauma dan Penggantian Sendi, Hospital Columbia Asia, Dr Mohd Kamal Mohd Hisa, berkata rembesan hormon ‘relaxin’ ketika mengandung untuk melonggarkan ligamen sendi pada bahagian pelvis dan tulang belakang bagi tujuan memudahkan proses kelahiran juga meningkatkan risiko sakit belakang.

Katanya, penambahan berat badan ibu yang keterlaluan ketika mengandung boleh menyebabkan sakit belakang menjadi lebih teruk, manakala pembesaran bayi dalam kandungan juga boleh menekan urat saraf yang mengakibatkan sakit belakang.

“Beberapa langkah dikenal pasti boleh mengurangkan sakit belakang ketika hamil. Antaranya wanita hamil perlu pastikan postur badan adalah betul ketika berdiri dan berjalan, untuk mengelakkan tekanan ke atas tulang belakang. Berdiri dan bersenang diri dengan postur tegak, meluruskan tulang belakang dan mengecutkan bahagian perut dan punggung dan relaks pada bahagian bahu.

“Berdiri tegak dan jangan bersandar ke belakang untuk memastikan tulang belakang berada dalam posisi lurus bagi mengelakkan kesakitan. Posisi bahu dan punggung juga mesti selari ketika berdiri. Elakkan berdiri terlalu lama dalam sehari. Jika anda perlu duduk terlalu lama di pejabat, cuba berehat dengan berjalan di sekitar ruang pejabat selang sejam,” katanya.
Dr Mohd Kamal juga yang tidak menggalakkan ibu hamil menyilang kaki ketika duduk, sebaliknya perlu pastikan belakang badan lurus dan tegak.

“Penggunaan bantal kecil yang diletakkan pada bahagian bawah belakang, mampu mengurangkan kesakitan. Elakkan berjalan dengan menolak perut ke hadapan kerana lengkungan lumbar yang terhasil pada bahagian bawah sendi belakang badan akibat postur ini akan menyakitkan,” katanya.

Sakit belakang boleh juga berpunca daripada pemakaian pakaian dalam yang tidak sesuai dan pakaian luar yang tidak selesa menjadikan tubuh wanita akan secara serta-merta berubah kedudukan badan bagi mengimbangi kedudukan pakaian yang dipakai itu. Sekiranya coli terlalu ketat umpamanya, wanita cenderung untuk membongkokkan badan.

Justeru pakaian dalam perlu yang bersaiz besar, serta mempunyai cangkuk lebar pada bahagian belakang. Tali coli yang besar dan terhasil daripada kain kapas yang nipis ketika mengandung memastikan anda selesa sepanjang hari. Sementara itu, seluar dalam yang dikhaskan bagi wanita mengandung adalah pilihan tepat kerana ia besar pada bahagian perut bagi menjamin keselesaan untuk tempoh masa panjang.

Walaupun segelintir wanita gemar memakai pakaian ketat, sebenarnya ia kurang sesuai dengan keadaan cuaca negara ini yang panas dan menyebabkan mudah berpeluh yang memungkinkan kulit mengalami kegatalan.

Justeru pilih pakaian longgar, selesa dan tidak mencengkam khususnya pada bahagian pinggang. Sebaiknya pakaian yang longgar pada bahagian depan kerana semakin lama perut wanita akan semakin membesar.

Menangani sakit belakang boleh dilakukan menerusi senaman ringan umpama berjalan-jalan serta menggerakkan anggota badan, tetapi sekiranya ia meninggalkan tanda tertentu anda perlu segera berhenti. Tanda dimaksudkan ialah sakit dada, perdarahan daripada faraj atau kontraksi atau jika anda mengalami pecah mentuban, serta denyutan jantung tidak tetap. Sekiranya berlarutan wanita hamil perlu segera merujuk kepada doktor.

INFO: Cara atasi belakang ketika hamil

•Pakai kasut yang selesa dan elakkan bertumit tinggi. Apabila kandungan membesar, imbangan badan berubah dan penggunaan kasut bertumit tinggi boleh menyebabkan kecederaan akibat jatuh atau terseliuh. Pilih kasut kulit atau kanvas agar kaki anda dapat edaran udara. Kasut sukan yang mempunyai sokongan lengkok tapak kaki dan tumit yang baik adalah sesuai dipakai di rumah atau bersiar-siar.

•Mulakan program senaman ringan yang berterusan untuk meregang dan menguatkan otot yang menyokong tulang belakang, otot abdomen dan kaki. Anda boleh mendapatkan nasihat doktor mengenai senaman yang sesuai. Aktiviti berenang boleh menguatkan otot abdomen, belakang badan dan kaki serta mengurangkan tekanan ke atas sendi-sendi tulang. Senaman juga boleh mengawal penambahan berat badan yang keterlaluan ketika mengandung.

•Pastikan posisi tidur malam adalah betul bagi mendapatkan rehat yang cukup. Posisi mengiring dengan kedua sendi lutut dibengkokkan sedikit dan letak bantal di antara lutut dapat memberi keselesaan ketika tidur. Untuk bangun dari katil, mengiring dan bengkokkan sedikit paha dan lutut. Gunakan tangan untuk menolak badan anda bangun dari katil. Mandi atau berendam dalam air panas suam juga boleh mengurangkan sakit belakang.

•Elakkan mengangkat barang berat dengan postur yang salah. Jika perlu mengangkat barang, pastikan anda membengkokkan kedua lutut dan jangan bengkokkan badan. Jika perlu menyidai baju, letakkan bakul di atas kerusi supaya anda tidak perlu kerap membongkok untuk mengambil baju dalam bakul untuk disidai.

•Sekiranya langkah-langkah ini tidak dapat mengurangkan sakit belakang anda, berjumpalah doktor untuk nasihat dan pemeriksaan lanjut. Mungkin fisioterapi, ubat tahan sakit atau pengamal akupuntur atau kiropraktik boleh membantu jika anda didapati selamat untuk menerima rawatan berkenaan.

Info Dari:- Berita Harian

Proses Mengandung ( Minggu 29 - Minggu 40)

Minggu ke-29. Postur kita akan kelihatan lebih besar pada bahagian hadapan. Pada masa ini kulit bayi dalam kandungan semakin merah. Namun ia kelihatan agak berkedut sedikit dan lelemak sudah mula terkumpul pada bahagian bawah kulit. Kelopak matanya juga telah terbuka dan sistem pendengaran telah terbentuk dengan sempurna.

Seterusnya minggu ke-30. Puan perlu banyak berehat. Jika puan tidak bekerja, pastikan puan mendapat rehat yang cukup pada hari siang. Pada waktu malamnya pula, pastikan puan tidur awal dan dapat tidur dengan selesa. Tips tidur - angkat sedikit kaki dan letakkan beberapa biji bantal di bawahnya. Jadi minggu-minggu terakhir ini kita secara rumusannya perlukan rehat yang cukup dan selesa.

Memasuki minggu ke-31. Bagi sesetengah wanita hamil akan mendapati tanda kesan regangan merah pada perutnya. Manakala pada payu daranya pula akan kelihatan salur darah yang agak jelas timbul. Ketika ini kedudukan kepala bayi masih berada di bawah. Panjang badannya kini boleh mencecah 37 cm dengan berat 900 g.

Minggu ke-32 pula, bayi kita telah mengalami pertambahan berat badan. Ia mencapai 1.6 kg. Secara normal kedudukan kepala bayi masih berada di bawah. Menyentuh soal hubungan suami isteri pula, sesetengah wanita hamil akan berasa bimbang apabila melakukan persetubuhan kerana takut ia mencederakan bayi yang dikandung. Sebenarnya, puan-puan tidak perlu risau untuk melakukan hubungan seks ketika ini kerana ia tidak akan mencederakan bayi.

Minggu ke-33, bayi kita telah memiliki rupa parasnya yang tersendiri. Rupa inilah nanti yang bakal puan lihat apabila dia lahir kelak. Malah, bayi kita juga sudah boleh membezakan antara terang dengan gelap. Sebagai ibu, inilah masanya puan perlu mendapatkan seberapa bayak rehat yang boleh. Cubalah berbaring sebentar pada waktu tengahari kerana puan mungkin penat ekoran membawa perut yang membesar.

Minggu ke-34, kedudukan bayi pada ketika ini telah betul-betul berada pada pintu rahim. Panjang bayi kira-kira 40.5 cm. Sekarang bayi puan telah terbentuk dengan sempurna dan badannya juga sudah seimbang. Masa ini lemak semakin terkumpul dengan pesatnya di bawah kulit bayi. Jadi bayi kelihatan agak tembam.

Minggu ke-35 pula, akan berlaku perubahan pada diri puan. Puan akan merasai kesukaran untuk bernafas, membuang air kecil dengan lebih kerap dan seringkali tidak dapat mengawal air kencing apabila terbatuk, bersin, atau tertawa dengan kuat. Manakala garisan gelap yang mengarah ke bawah perut sudah menjadi lebih ketara dan menonjol. Puan perlu melakukan beberapa senaman termasuklah senaman pelvik untuk menguatkan rahim.

Bagi mereka yang bekerja, minggu ke-36 pula sewajarnya sudah mengambil cuti dan berehat di rumah. Puan perlu mengelakkan keletihan dan kelesuan. Senantiasa angkat kaki dan letakkan di atas bantal ataupun objek tinggi untuk mengelakkan urat timbul atau "varicose vein" dan bengkak kaki. Bayi pada masa ini sudah membesar dan saiznya memenuhi ruang uterus puan pada ketika ini. Puan akan berasa perut puan begitu penuh, sarat dan sukar untuk membuat sebarang pergerakan.

Bila sudah tiba minggu ke-37, kepala bayi mungkin sudah turun ke ruang pelvik. Bonjolan ketara pada perut akan semakin membesar. Bentuk bayi dalam kandungan juga semakin membulat dan kulitnya bertukar menjadi merah jambu. Rambutnya tumbuh dengan lebat dan bertambah sebanyak 5 cm. Kuku lembut telah terbentuk pada hujung jari tangan dan kaki.

Pada minggu ke-38, puan tentu akan dapat merasa keadaan pundi kencing yang sedikit tertekan dan ini akan menyebabkan kita kerap mahu membuang air kencing.

Puan seterusnya akan memasuki minggu ke-39, saat hampir bersalin minggu kedua terakhir sebelum bersalin. Perut kita sudah begitu besar dan berat. Buat masa ini kita perlu fokuskan fikiran kepada perkara-perkara positif dan bayangkan pemandangan indah. Kita perlu pastikan segala persediaan untuk melahirkan telah siap dikemas dan diletakkan di tempat yang muda diambil.

Minggu ke-40 adalah minggu terakhir dan memasuki minggu ini adlaah saat yang ditunggu-tunggu. Puan akan merasa tidak selesa dan tegang pada bahagian abdomen dan akan merasa sedikit gatal. Puan juga akan muali rasa kebas pada bahagian kaki. Bayi kita dalam kandungan kini telah bersedia untuk dilahirkan. Panjangnya sudah 51 cm dan beratnya telah menjangkau 3.4 kg. Jadi impian puan dan suami kini akan menjadi kenyataan dalam sedikit masa sahaja lagi.

Masalah Tekanan Darah Rendah Wanita Hamil



Info berguna kepada Ibu Hamil ~ Sila Baca


Ketika mengandung, tubuh ibu menyediakan suasana persekitaran yang selamat di samping memberi nutrisi/pemakanan kepada bayi yang sedang membesar di dalam kandungannya.
Oleh yang demikian, seorang wanita yang mengandung akan mengalami perubahan fizikal dan fisiologi yang dramatik, termasuklah yang melibatkan sistem peredaran darah atau tubuh.

Perubahan sistem peredaran tubuh yang mencirikan proses mengandung normal adalah disebabkan oleh vasodilatasi (penambahan diameter pembuluh darah, khususnya arteri) periferal.

Semasa mengandung, tekanan darah adalah lebih rendah akibat perubahan hormon yang menyebabkan saluran darah mengembang.

Salur-salur darah juga tidak mengalami kontraksi/pengecutan secepat mahupun secekap sebelum mengandung sebagai suatu tindak balas kepada perubahan gaya atau kedudukan tubuh.

Oleh sebab itu, seseorang yang berdiri dengan cepat tidak memberi masa secukupnya untuk sistem peredaran melakukan penyesuaian, seterusnya tidak cukup darah dan oksigen sampai ke otak dan ibu yang mengandung itu akan berasa pitam.

Semasa hamil, jantung akan bekerja mengepam darah kepada rahim dan bayi dalam kandungan dengan lebih kuat. Pengeluaran kardiak/berkaitan jantung bertambah dari seawal lima minggu kehamilan.

Jumlah darah yang dipam oleh jantung meningkat 45 peratus apabila janin berusia 24 minggu. Denyutan jantung meningkat 30 peratus.

Denyutan nadi boleh meningkat dari kadar 60 ke 70 denyutan seminit sebelum mengandung kepada 80 ke 90 denyutan seminit semasa hamil.

Walaupun terdapat penambahan dramatik pengeluaran kardiak, tekanan darah menurun semasa trimester kedua kehamilan dan kembali ke normal semasa trimester ketiga.

*Pitam

Itu sebabnya kenapa wanita hamil lebih cenderung mengalami pitam semasa trimester pertama dan kedua. Apabila usia kandungan meningkat, rahim akan membesar dan memberi tekanan kepada pembuluh darah vena kava inferior yang bertugas mengalirkan darah dari bahagian kaki kembali ke jantung. Kesan tekanan ini akan menghalang pengaliran darah semula ke jantung.

Jika wanita hamil berbaring, rahim yang semakin membesar itu boleh menghalang pengaliran darah balik ke jantung dan mengakibatkan sindrom supine hypotensive yang berlaku pada 10 hingga 15 peratus wanita hamil. Keadaan-keadaan yang disebutkan ini boleh menyebabkan rasa pening kepala dan pitam.

Rahim yang membesar akan menolak diafragma ke arah dada dan menyebabkan wanita hamil berasa sukar bernafas. Volum plasma atau darah meningkat 50 peratus dari seawal enam minggu kehamilan untuk memenuhi keperluan janin. Komponen cecair dalam salur darah meningkat dengan lebih banyak lagi berbanding sel-sel darah merah pembawa oksigen. Akibatnya, wanita hamil akan menjadi anemik, yang merupakan kesan yang normal akibat perubahan fisiologi kehamilan.

Walaubagaimanapun, jika zat besi tidak mencukupi dalam pemakanan ibu, anemia akan bertambah teruk dan menyumbang kepada rasa pitam apabila berubah kedudukan. Semasa peringkat awal kehamilan, ibu hamil kerap mengalami loya dan muntah yang disebabkan oleh paras hormon estrogen dan human chorionic gonadotropin (HCG) yang tinggi.

Gejala-gejala ini biasanya dirasai semasa minggu ke tujuh hingga ke lapan kehamilan dan beransur reda semasa minggu ke-12 hingga ke-15 kehamilan. Muntah yang berlebihan dan berpanjangan pada peringkat ini akan menyebabkan kesan dehidrasi, kebuluran, penurunan berat badan dan mengganggu perkembangan janin yang semakin membesar. Kebuluran menyebabkan ketosis (persekitaran berasid) yang boleh memudaratkan janin. Oleh itu, jika keton dikesan dalam air kencing, ibu hamil perlu dimasukkan ke dalam wad.

Rawatan hidrasi dengan cecair intravena akan memulihkan keadaan ibu hamil. Rasa loya dan muntah boleh dikurangkan dengan mengubahsuai pemakanan atau tabiat makan. Makan dan minum dalam kuantiti yang kecil dan secara kerap boleh membantu. Makan sebelum berasa lapar juga dapat membantu mengatasi masalah ini.

Biskut kraker mahupun roti bakar boleh dimakan sebelum bangun dari katil pada waktu pagi untuk mengurangkan rasa loya dan muntah.

Minuman isotonik baik diminum kerana ia ideal untuk menggantikan garam elektrolit yang mungkin hilang akibat muntah yang berpanjangan.

Elakkanlah dari makanan serta bau-bauan yang menyebabkan ibu hamil berasa loya.

Ibu hamil juga boleh mempraktikkan beberapa langkah yang dapat membantu mengatasi masalah-masalah atas.

1.Untuk mengelakkan rasa pening dan pitam, apabila bangun dari tidur, duduk dan tunggu selama 15 saat, kemudian gantungkan kaki dari katil dan tunggu 15 saat, berdiri dan tunggu selama 15 saat, dan barulah mula berjalan.
2.Jika rasa pening pada siang hari, pulihkan dengan mengambil makanan ringan, minumlah segelas jus oren sebelum bangun dari katil.
3.Elakkanlah dari berdiri pada satu tempat tanpa bergerak kerana ini menyebabkan darah terkumpul di bahagian kaki. Sebaliknya, berjalan tanpa bergerak supaya otot-otot betis dapat membantu mengepam darah semula ke jantung.
4.Untuk pening yang disebabkan oleh anemia, rawatan suplemen dengan zat besi patut diambil.


Sumber : Utusan Malaysia
Keterangan oleh Pakar Perunding Perbidanan dan Sakit Puan, Dr. Kamsuraini Ibrahim.


Pesanan Khidmat Masyarakat kepada Ibu Hamil



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...