Tuesday, September 7, 2010

Keracunan ubat-ubatan moden

UBAT ANTIDEPRESI
Ubat antidepresi digunakan untuk merawat depresi atau kesugulan yang merupakan satu gangguan psikologi. Ini termasuklah perubahan tingkah laku seperti bermuram, cepat marah, gangguan tidur, hilang berat badan dan kurang selera makan. Ciri-ciri kesugulan biasanya ditentukan oleh doktor perubatan. Ini berpandukan kriteria yang ditetapkan mengikut satu piawai untuk penyakit mental. Rawatan kesugulan biasanya melibatkan kedua-dua rawatan kaunseling dan ubat. Daripada segi rawatan ubat, biasanya ubat antidepresi trisiklik seperti imipramin digunakan.
Keracunan akibat pengambilan berlebihan ubat antidepresi trisiklik boleh dilihat daripada ransangan sistem saraf dan gangguan denyutan jantung. Jika dos ubat imipramin yang diambil melebihi 500 mg, ia boleh menyebabkan mangsa menunjukkan gejala suhu badan menurun, sawan, tekanan darah menurun, pernafasan tertekan, anak mata mengembang, penglihatan kabur, gangguan denyutan jantung dan koma. Sebenarnya tiada penawar khusus untuk kes keracunan ini. Rawatan yang biasa diberi merupakan rawatan untuk mengeluarkan sebanyak mungkin racun dari badan serta berdasarkan masalah kesihatan yang timbul semasa keracunan.
 
UBAT ANALGESIK
Kumpulan ubat ini menahan atau meredakan kesakitan akibat sakit kepala, sakit gigi, sakit perut, sakit sendi dan sebagainya. Dalam hal ini kesakitan merupakan satu tanda penyakit dan bukannya sebab utama mengapa sesuatu bahagian badan menjadi sakit. Oleh itu ubat analgesik hanya membantu mengurangkan rasa sakit yang berkaitan. Sekiranya rasa sakit muncul semula ataupun tidak hilang, maka pesakit cenderung untuk menambah atau menggunakan semula dos ubat berulangkali sehingga menghasilkan keracunan. Terdapat dua jenis utama ubat analgesik iaitu jenis narkotik dan bukan narkotik. Jenis narkotik merujuk khususnya kepada dadah narkotik seperti morfin ataupun petidin; satu lagi adalah seperti aspirin dan parasetamol. Ubat analgesik jenis narkotik jarang mengakibatkan keracunan. Ini kerana penggunaan ubat tersebut terhad dan sentiasa diawasi oleh doktor bagi mempastikan bahawa dos yang diambil tidak berlebihan.
Ubat analgesia, jenis bukan narkotik pula dibenarkan untuk digunakan oleh undang-undang Malaysia tanpa pengawasan doktor. Ubat sedemikian boleh diperolehi di kedai farmasi tanpa preskripsi doktor. Kebanyakan ubat seperti analgesia sering mengakibatkan keracunan kerana cara penggunaan yang tidak betul. Mekanisme keracunan yang terhasil akibat dari kumpulan ini akan diterangkan dengan menggunakan dua jenis ubat yang popular iaitu parasetamol dan aspirin.
 
Parasetamol
Parasetamol akan dimetabolismekan di hati lantas menyebabkan kesan ubat menjadi reda dan penggunaannya perlu diulang.Ia terbentuk di hati dan merupakan bahan kimia bertoksik kepada sel-sel hati yang boleh menyebabkan sel hati termusnah. Dalam pengambilan ubat ini secara biasa, metabolit merbahaya ini bergabung dengan sejenis enzim glutation yang terhad menyebabkan metabolit perantara tidak dapat dineutralkan. Akibatnya metabolit tersebut bergabung dengan sel hati dan seterusnya menyebabkan sel hati musnah. Selain hati, parasetamol juga menyebabkan kerosakan buah pinggang melalui mekanisme yang sama. Sekiranya berlaku keracunan parasetamol, penawar, n-asetilsistein boleh digunakan untuk menghalang berlakunya kerosakan hati dan buah pinggang. Sekiranya rawatan diberikan sebelum kerosakan hati dan buah pinggang berlaku, penawar tersebut akan menyebabkan lebih banyak enzim glutation dihasilkan untuk bergabung dengan metabolit perantara.
 
Aspirin
Asprin digunakan untuk meredakan sakit, mengurangkan demam dan radang di bahagian sendi. Ia juga boleh meredakan penyakit artritis dan melambatkan pembekuan darah. Untuk merawat kesakitan, aspirin digunakan pada dos sehingga 1gm setiap empat jam. Dos oral maksimum yang dibenarkan dalam sehari ialah lingkungan 4 gm. Dalam badan, aspirin akan ditukarkan di bahagian hati menjadi salisilat.Penggunaan aspirin di kalangan kanak-kanak tidak digalakkan. Ini kerana aspirin didapati mengakibatkan kesan sampingan yang dikenali sebagai penyakit Reye, suatu keadaan yang membawa kepada kerosakan hati, otak dan akhirnya maut. Selain daripada itu, aspirin juga merengsakan perut malah berupaya melukakannya dan menyebabkan perdarahan. Seterusnya ulser boleh berlaku di bahagian perut dan sistem penghadaman. Rasa mual, perut sebu dan muntah sering berlaku sebagai kesan sampingan pada orang dewasa. Sekiranya ini berlaku, hentikan serta-merta penggunaan aspirin dan dapatkan nasihat perubatan.
Memakan aspirin melebihi dos yang disyorkan (biasanya 20-25 gm) telah dilaporkan boleh menyebabkan kematian. Kesan keracunan yang berlaku pada peringkat awal ialah rasa mual, muntah dan sakit perut. Ini kemudiannya diikuti dengan kesan keracunan lebih hebat melalui sakit telinga dan pendengaran terganggu, berpeluh, suhu badan meningkat, pernafasan yang cepat dan kehausan. Peringkat akhir keracunan ialah mangsa tidak sedarkan diri dan pernafasan terhenti. Dalam kes keracunan salisilat, tiada penawar khusus yang boleh digunakan dan rawatan keracunan hanya berdasarkan kepada masalah kesihatan semasa yang timbul dalam kes keracunan.
 
UBAT SELSEMA
Ubat selsema mengandungi kumpulan ubat antihistamin. Ubat ini meredakan selsema dengan cara mengurangkan kerengsaan saluran pernafasan terutamanya akibat alahan. Ubat ini juga boleh mengurangkan pengeluaran lendir di tekak dan hidung.Sekiranya diambil secara berlebihan, gejala keracunan yang dapat diperhatikan adalah kabur penglihatan, mulut kering, rasa mual, suhu badan meningkat dan sawan.Tiada penawar boleh digunakan. Rawatan yang dilakukan ditumpukan kepada mengeluarkan sebanyak mungkin bahan racun dari mangsa dan mengatasi masalah kesihatan yang timbul akibat keracunan.
 
UBAT TIDUR YANG MENGANDUNGI BARBITURAT
Digunakan mengatasi insomnia, iaitu kesulitan untuk tidur secara berterusan mungkin akibat kerungsingan dan kegelisahan atau masalah psikologi lain.Digunakan untuk membantu seseorang tidur sebagai satu langkah jangka pendek.Kumpulan ubat barbiturat boleh mengakibatkan ketagihan.Keracunan barbiturat yang tidak serius boleh menyebabkan mangsa kelihatan seperti orang mabuk alkohol dengan fikiran keliru, percakapan kurang jelas dan pergerakan badan terhoyong-hayang. Keracunan yang lebih serius, akibat pengambilan lebih dari 2 gm dos untuk amilobarbital dapat dilihat apabila mangsa tidak sedarkan diri, suhu badan serta tekanan darah menurun dan berakhir dengan kematian. Tiada penawar khusus untuk merawat keracunan kelas barbiturat. Rawatan hanya tertumpu kepada mengeluarkan sebanyak mungkin racun dari badan mangsa dan merawat masalah kesihatan yang timbul semasa keracunan.
 
UBAT SAKIT JANTUNG
Terdapat pelbagai jenis ubat-ubatan kumpulan ini. Antaranya termasuklah ubat darah tinggi, antiangina, memulih kegagalan jantung dan pengatur denyutan jantung (aritma). Masing-masing berbeza daripada segi kesan dan tindakannya. Oleh itu, maklumat daripada segi keracunan akan ditumpukan kepada sejenis dadah sahaja iaitu digoksin yang digunakan untuk kegagalan jantung dan pengatur denyutan jantung. Digoksin bertindak ke atas jantung secara langsung untuk mengurangkan kadar denyutan. Dengan cara ini, jantung dapat berfungsi dengan lebih baik dan cekap apabila kadar denyutan kembali normal.
Kesan keracunan digoksin diperhatikan pada dos yang rendah iaitu 2 mg untuk kanak-kanak atau 5 mg pada orang dewasa . Apabila keracunan berlaku, gejala yang diperhatikan adalah muntah-muntah, denyutan jantung tidak seragam dan penglihatan berbinar-binar. Dalam merawat keracunan, penawar khusus dikenali sebagai antibodi spesifik digoksin boleh digunakan untuk menghilangkan kesan keracunan.
 
UBAT PENAMBAH MINERAL
Ubat yang digunakan untuk mengimbangi kandungan mineral di dalam badan supaya fungsi normal badan tidak terjejas. Salah ubat ubat penambah mineral yang sering menyebabkan keracunan ialah ubat zat besi. Biasanya ia diberikan kepada kanak-kanak yang sedang membesar dan ibu-ibu mengandung. Zat besi yang diambil diperlukan dalam pembuatan sel darah merah dan protein tertentu dalam badan serta pengecutan dan pengenduran otot badan. Keracunan ubat ini berpunca daripada bentuknya yang berwarna-warni sehingga kanak-kanak menyangkakannya gula-gula. Dalam keracunan zat besi, ialah hakisan dinding saluran usus sehinggakan dinding usus pecah dan berdarah.Kesan lain yang diperhatikan ialah rasa mual, kesakitan pada bahagian abdomen, kadar nadi menurun, cirit birit, kehausan dan koma.Sekiranya keracunan berlaku, penawar khusus iaitu deferioksamin boleh digunakan. Ia akan bergabung dengan zat besi yang berlebihan.
 
UBAT BATUK YANG MENGANDUNGI NARKOTIK
Merupakan ubat yang bertindak ke atas pusat batuk di otak supaya batuk dapat diredakan secara langsung dan kekerapannya dikurangkan. Dalam hal ini, faktor sebenar yang menyebabkan batuk tidak terawat. Salah satu jenis ubat batuk dalam kategori ini ialah kodein yang dikelaskan sebagai sejenis dadah berbahaya. Selain menyebabkan ketagihan, ubat jenis ini jika diambil berlebihan akan menyebabkan mangsa kelihatan letih dengan tanda anak mata mengecil, otot anggota lembik serta tekanan darah dan kadar nadi menurun. Sekiranya kuantiti ubat yang diambil tinggi, pernafasan menjadi perlahan sehingga terhenti lantas menyebabkan kematian. Dalam kes keracunan jenis ini, penawar khusus iaitu nalokson digunakan untuk menghalang kesan keracunan. Penawar ini juga digunakan untuk lain-lain ubat yang sejenis dengan kodein seperti opiat dan opioid.

UBAT PENENANG

untuk mengurangkan rasa resah, tegang dan kejang otot serta dapat menghasilkan rasa mengantuk dan menghentikan serta mencegah sawan(gelugut).
kesan penindasan sistem otak dan saraf pusat. Antara gejala keracunan yang diperhatikan ialah percakapan tidak lancar, anak mata mengecil, terketar-ketar, koma dan pernafasan terhenti. Dalam keracunan kumpulan ubat ini, penawar khusus iaitu flumazenil boleh digunakan bagi memulihkan kesan keracunan.

PENUTUP

Sebagai langkah mengatasi kemungkinan berlakunya keracunan akibat ubat-ubatan moden, langkah berjaga-jaga perlu diamalkan. Amalan yang boleh diikuti bagi tujuan mengatasi keracunan ubat-ubatan moden termasuklah:
 
  • Simpan ubat di tempat berkunci yang sukar dicapai oleh kanak-kanak.
  • Guna penutup bekas ubat yang sukar dibuka oleh kanak-kanak. Penutup jenis rintang kanak-kanak boleh diperolehi di kedai-kedai farmasi.
  • Tutup bekas ubat selepas menggunakannya dan kembalikan bekas ubat yang digunakan pada tempat simpanan ubat yang sesuai.
  • Tandakan tarikh pemerolehan ubat dan sentiasa mengambil perhatian kepada tarikh lupus ubat dan jangan gunakan ubat yang telah lupus.
  • Gunakan ubat yang dipreskripsikan kepada anda dan jangan guna ubat yang diberikan kepada orang lain.
  • Simpan ubat dalam bekas asal dengan label yang jelas.
  • Minta doktor dan farmasi anda merekodkan jumlah ubat di atas bekas. Ini menolong dalam memberi maklumat jumlah ubat yang diambil oleh pesakit dalam kes-kes keracunan.
  • Baca label ubat dengan teliti sebelum mengambil apa-apa ubat
  • Jika label telah rosak dan anda tidak pasti dengan cara penggunaan ubat tersebut, buang ubat tersebut.
  • Galakkan kanak-kanak untuk mengecam ubat sebagai bahan beracun dan jangan sesekali merujuk ubat sebagai gula-gula.

    --
    ~Yuzy~
    ---,--<@
  • 1 comments:

    armouris said...

    info tentang keracunan ubat di SIHAT SELALU - Elak Keracunan Ubat-ubatan

    Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...